GEORGETOWN: Tidak ada kerjasama politik termasuk bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara DAP dan UMNO buat masa ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak mempunyai masalah atau halangan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam isu melibatkan kepentingan rakyat.
Malah, beliau mengambil contoh bagaimana DAP dan UMNO bersetuju supaya sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan isu berkaitan Covid-19 serta pendirian bersama kedua-dua parti dalam konflik di Myanmar dan Palestin.
“Kita sedia bekerjasama dengan UMNO untuk perkara yang memberi manfaat dan kelebihan kepada rakyat, bukannya atas dasar kepentingan parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Guan Eng mengulas mengenai kemungkinan DAP mengadakan kerjasama politik dengan UMNO khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15.
Menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu, UMNO bagaimanapun menyatakan kebersamaan parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – UTUSAN ONLINE