Tiba masa bertindak tegas kekang berita palsu - Utusan Malaysia

Tiba masa bertindak tegas kekang berita palsu

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah lebih setahun berlembut dengan sekadar membuat makluman penafian, kerajaan mula bertindak tegas membendung penularan berita palsu melalui hukuman berat.

Malah, penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 bermula hari ini, turut boleh dikenakan ke atas bukan rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara.

Langkah itu yang meliputi isu Covid-19 dan proklamasi darurat turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Jika kesalahan itu dilakukan walaupun bukan warganegara dan di luar Malaysia pula, individu itu masih lagi boleh diuruskan seolah-olah kes tersebut dibuat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang diadakan bagi pemakluman ordinan berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fadhlullah Suhaimi Abd. Malek.

Ordinan kedua itu dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong semalam selepas pengisytiharan darurat pada 11 Januari lalu turut mengenakan hukuman lebih berat jika sabit kesalahan.

“Seksyen 4 dalam ordinan ini memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau pun kedua-duanya sekali,” jelas Takiyuddin lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ordinan itu akan mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan namun prosiding di mahkamah sesyen kekal seperti sedia ada.

Justeru ujarnya, ordinan tersebut tidak perlu mengikut amalan lazim seperti kes saman fitnah yang boleh mengambil masa bertahun-tahun dan ada lebih 10 tahun pun masih belum selesai.

Sambil menyifatkan ia seumpama Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dimansuh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, ordinan baharu tersebut pula cuma fokus kepada dua perkara.

“Kita hanya tumpu berita palsu disebar mengenai isu wabak Covid-19 dan proklamasi darurat tanpa sebarang penglibatan unsur politik konon mahu sekat kebebasan bersuara,” katanya.

Uniknya, seksyen 5 ordinan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih enam tahun bagi pemberi bantuan kewangan untuk penyebar berita palsu.

Sementara seksyen 6 pula membolehkan pegawai polis atau individu diberi kuasa boleh memerintahkan bahan fitnah itu dihapuskan segera dalam masa 24 jam dengan mengisi Borang A.

Hakim mahkamah sesyen kata Takiyuddin, boleh memerintahkan secara sebelah pihak sahaja dengan Borang B dan rayuan penerbitan semula boleh dibuat selepas bahan itu dipadamkan.

Ditanya adakah ordinan itu masih terpakai selepas tamat darurat pada 1 Ogos depan, beliau berkata, ia akan terbatal dengan sendirinya selepas enam bulan daripada tarikh berkenaan.

“Ordinan itu juga boleh dimansuhkan oleh kerajaan menerusi persidangan Parlimen tetapi jika tiada usul dibuat, ia tetap akan terbatal secara automatik dalam masa enam bulan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya