Tiada vaksin Covid-19 dijual dalam talian - Utusan Malaysia

Tiada vaksin Covid-19 dijual dalam talian

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menawarkan penjualan vaksin Covid-19 untuk mana-mana syarikat pengeluarnya menerusi kaedah dalam talian kepada rakyat negara ini.

Demikian ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil berharap rakyat tidak tertipu dengan tawaran itu kononnya diberi kelulusan oleh pihak kerajaan.

“Ada cuba ambil kesempatan dan pujuk kononnya mereka ejen dari negara pengeluar vaksin atau syarikat pengilang bagi memperdaya orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peringatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berhubung kes penipuan vaksin tersebut.

Setakat ini, dua kes sudah dilaporkan di negara ini melibatkan kerugian bernilai RM285,499 dan kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu mangsa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, orang ramai yang ada maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi terus pihak Kementerian Kesihatan atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Dua kementerian ini bekerjasama dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin dan mereka juga yang selaraskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat agar segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau laman sesawang rasmi www.vaksincovid.gov.my atau hospital awam yang mula dibuka esok.

Talian ‘hotline’ juga bakal diumumkan oleh pihak kementerian berkenaan kerana fasa pertama PICK sudah bermula pada 26 Februari ini untuk barisan hadapan sebelum diperluaskan lagi ke fasa seterusnya.

Sehingga hari ini ujarnya, seramai 1,909,585 orang sudah mendaftar menerusi aplikasi itu dan jumlah tersebut masih kecil berbanding populasi Malaysia yang keseluruhan hampir 33 juta.

“Vaksinasi ini penting dan tidak mustahil menjadi syarat wajib sebelum masuk mana-mana negara  malah Arab Saudi telah mengenakan syarat ini untuk bakal jemaah haji dan umrah,” katanya.

Kerajaan telah membeli bekalan vaksin untuk keseluruhan rakyat dari pelbagai pengeluar antaranya Pfizer-BioNtech yang tiba paling awal di negara ini pada 21 Februari lalu.

Selain itu, dos vaksin turut dibeli dari dua firma farmaseutikal di China, Sinovac dan CanSioBio, selain Astra-Zeneca keluaran Oxford di Britain dan Sputnik V dihasilkan Gamaleya di Rusia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN