PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tiada elemen sabotaj dalam semua kemalangan yang melibatkan helikopter persendirian di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo berkata, jika dilihat rekod agensi itu sendiri, belum ada lagi berlaku unsur khianat oleh pihak tertentu sebagai punca nahas pesawat tersebut.
“Setakat ini, jika berdasarkan pengalaman CAAM, kita boleh memberi jaminan tiada unsur sabotaj yang menyebabkan sesuatu kes kemalangan membabitkan helikopter,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program taklimat kesedaran keselamatan dengan operator helikopter di sini hari ini.
Beliau merujuk tiga kes nahas berlaku di sekitar Lembah Klang dalam tempoh enam bulan lalu dengan yang terkini melibatkan pesawat firma Leopad Avioation Sdn. Bhd. di Subang, Selangor.
Dua kes sebelum itu membabitkan tiga helikopter milik My Heli Club masing-masing di Taman Melawati, Hulu Klang pada 8 November lepas dan Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada 1 Januari.
Voo berkata, mereka yang mahu menaiki helikopter meliputi hampir 100 operator persendirian di seluruh negara tidak perlu bimbang dengan kecekapan juruterbang pesawat itu.
“Kita boleh beri jaminan, setakat ini tiada elemen jenayah sabotaj jika berlaku nahas helikopter tetapi kebanyakan yang berlaku lebih disebabkan faktor cuaca dan teknikal selenggara,” katanya.
Sambil memberi perumpamaan sebuah kereta yang perlu diselenggara secara berkala, beliau mengesahkan faktor usia helikopter tidak boleh dijadikan ukuran jaminan keselamatan pesawat.
Beliau berkata, pihaknya telah meneliti laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan dan akan menyarankan kepada operator terbabit untuk proses penambahbaikan.
“Lesen juruterbang dan rekod selenggara masih sah, tiada kesalahan pematuhan peraturan tapi jika ada faktor disengajakan, maka tindakan undang-undang normal boleh dikenakan,” tegasnya.
Namun, Voo menyarankan sesiapa ingin menggunakan khidmat helikopter persendirian agar mengambil insurans peribadi untuk nahas udara kerana ia tidak disediakan operator berkenaan.
Situasi itu berbeza dengan lapan operator helikopter komersial berdaftar di negara ini yang mengenakan caj tambahan sebagai insurans untuk penumpang jika berlaku insiden kemalangan.
Ditanya mengenai kes kemalangan di Subang pada 24 Mac lalu, beliau berkata, juruterbang dan semua penumpang masih dirawat di hospital tetapi akan disiasat selepas mereka discaj.
“Ini mungkin ambil masa sedikit dan saya berharap masyarakat tidak buat rumusan tersendiri hanya berdasarkan rakaman video yang tular menerusi platform media sosial,” katanya.