IPOH: Tiada tangisan atau tarik-menarik tangan ibu bapa seperti mana lazimnya pada hari pertama sesi persekolahan 2021 di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh (SKJP) di sini.
Sebaliknya kehadiran murid-murid berjalan lancar dan tenang mengikut kebiasaan baharu sebaik sahaja pintu pagar sekolah dibuka seawal pukul 6.50 pagi.
Seramai 330 murid-murid memulakan sesi persekolahan pada hari ini yang terdiri daripada 142 murid Tahun Satu dan bakinya Tahun Dua termasuk pra sekolah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKJP, Juita Mohd. Rodzi berkata, waktu ketibaan murid-murid juga adalah secara berperingkat-peringkat bermula pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Menurut beliau, perkongsian maklumat berhubung pembukaan sesi persekolahan menerusi laman aplikasi Telegram sekolah juga membolehkan ibu bapa membuat persediaan sewajarnya.
“Kita sedia maklum sesi persekolahan mengikut kebiasaan baharu ini berbeza berbanding sebelumnya selain mengurangkan sentuhan. Selain guru-guru, seramai lima wakil PIBG turut hadir bagi membantu pihak sekolah memastikan ketibaan murid-murid berjalan lancar,” jelasnya.