Tiada Parlimen : Gaji wakil rakyat tetap jalan - Utusan Malaysia

Tiada Parlimen : Gaji wakil rakyat tetap jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Rakyat masih perlu dibayar emolumen penuh selama tempoh Parlimen tidak bersidang kerana terikat dengan bentuk sumpah dan ikrar serta terma perkhidmatan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim antara lain berkata, elaun ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah mesti dibayar sama seperti jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dan peraturan perintah am kerajaan.

“Apabila sesuatu perkara itu ditermakan sebagai warta, maka gajinya harus dibayar (penuh). Jika tidak, akan timbul soal perundangan pengiktirafan selain kewibawaan Parlimen sendiri.

“Contohnya Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau menjalankan tugas di kawasan tersebut dengan melawat, berjumpa dengan rakyat dan membantu mereka. Begitu juga dengan wakil rakyat di kawasan felda.

“Soal wakil rakyat itu tidak buat kerja sebenarnya tidak timbul kerana 222 wakil rakyat di Dewan Rakyat dan 66 ahli Dewan Negara, mereka menjalankan kerja di luar dewan dan bukannya di dalam dewan. Ini harus diterima,” katanya semasa program Ruang Bicara bertajuk Signifikan Parlimen dalam Pembinaan Negara Bangsa yang disiarkan oleh saluran televisyen kerajaan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan penonton berkenaan isu yang sengaja dibangkitkan pihak tertentu bahawa gaji dan elaun ahli Parlimen wajar dipotong kerana Parlimen tidak bersidang sehingga 1 Ogos ini.

Perkara 43 (6) Perlembagaan Persekutuan menyebut sebelum seseorang menteri menjalankan fungsi jawatannya, dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan, sumpah setia dan sumpah simpan rahsia.

Ini selari dengan pewartaan di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Aman (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 iaitu perkhidmatan seseorang pegawai tidak boleh ditamatkan apabila diakui perkhidmatannya melainkan pegawai itu diberi peluang menunjukkan sebab.

Terdahulu, timbul isu pemotongan emolumen iaitu gaji atau elaun ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara hanya disebabkan Parlimen tidak bersidang bagi menumpukan sepenuh perhatian kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Rais menegaskan, tanggapan memotong gaji adalah tidak wajar kerana ahli Parlimen masih tetap berkhidmat di kawasan masing-masing tanpa perlu hadir ke Parlimen.

Menurutnya, begitu juga dengan bayaran terhadap ahli Dewan Negara yang perlu dibayar penuh kerana menjalankan tanggungjawab di merata kawasan di seluruh negara dengan menghulurkan bantuan menerusi peruntukan khas yang diberikan Parlimen kepada rakyat.

“Ini harus diterima. Sangat tidak wajar memotong gaji kecualilah mereka sendiri dengan rela hati mahu gajinya dipotong,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya