KUALA LUMPUR: UMNO tidak meletakkan sebarang tempoh kepada Pas dalam membuat keputusan sama ada ingin bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau meneruskan kerjasama dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pas tidaklah memberikan reaksi yang negatif lebih-lebih lagi apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa hubungan dengan MN perlu diperkukuhkan.
“Saya kira Pas mungkin ingin terus jadi jambatan kepada hubungan, bagaimanapun kita telah nyatakan bahawa hubungan dengan Bersatu sudah dinoktahkan.
“Dan jika Pas ingin menjadi jambatan kelihatan ia tidak akan berlaku dan apa yang lebih penting hubungan UMNO dan PAS dipersetujui oleh semua jurucakap setakat ini,” katanya kepada media di sini hari ini.
Ahmad berkata, Pas perlu sedar akan gabungannya bersama UMNO lebih awal berbanding PN yang ditubuh bersama Bersatu.
“Hubungan dengan UMNO lebih awal dan pada ketika itu Bersatu berada dalam Pakatan Harapan (PH) bersama DAP dan PKR.
“Oleh itu jika berlaku tiga penjuru, adalah penting pimpinan negeri dan kawasan itu sentiasa rapat dengan pimpinan Pas dan mudah-mudahan pimpinan PAS sentiasa bersama kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE