PUTRAJAYA: Semua majikan sektor swasta dibenarkan untuk mengarahkan kehadiran penuh melibatkan petugas bahagian pengurusan dan penyeliaan selain operasi serta sokongan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan 100 peratus untuk kedatangan ke tempat kerja itu sekali gus memansuhkan amalan bekerja dari rumah (BDR).
“Arahan ini mula berkuat kuasa 1 April dan maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan yang dilanjutkan dua minggu lagi di pejabatnya hari ini.
MKN ujarnya, pada mesyuarat semalam turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pembatalan 30 peratus staf yang diarahkan BDR.
Ia katanya, meliputi pengurusan dan penyeliaan sesebuah syarikat perkilangan atas justifikasi BDR sukar dilaksanakan kerana operasi tidak dapat dilakukan secara remote atau jarak jauh.
“Operasi pengilangan sering melibatkan proses kompleks dan teknikal dengan pasukan berbeza kena hadir dan mereka pada masa sama juga perlu bekerja secara serentak,” kata Ismail Sabri.
Justeru, jelasnya, pembatalan syarat BDR akan memberi peluang kepada sektor perkilangan di seluruh negara untuk dapat beroperasi pada tahap skala yang maksimum tanpa ada masalah.
Bagaimanapun katanya, kapasiti kehadiran lebih sejuta kakitangan perkhidmatan awam di negara ini masih lagi berdasarkan pekeliling dan arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam. -UTUSAN ONLINE