‘Tiada KSN lalui cabaran, pengalaman seperti saya’ - Utusan Malaysia

‘Tiada KSN lalui cabaran, pengalaman seperti saya’

MOHD. Zuki Ali melihat buku 365 hari Mohd Zuki Ali: Aspirasi dan Cabaran pada majlis pelancaran buku itu di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula dengan cabaran pergolakan politik, penularan pandemik Covid-19 seterusnya mengheret negara kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disusuli pula dengan cabaran berdepan ekonomi yang perlahan.

Itu pengalaman terawal yang ‘terpaksa’ dihadapi Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang disifatkan amat berbeza berbanding pelantikan pemimpin lain dalam jawatan itu sebelum ini.

Di antara cabaran-cabaran itu, beliau berkata, apa yang paling membimbangkannya ialah cabaran dari sudut memulihkan semula ekonomi yang mana negara pada suku pertama tahun 2020 menyaksikan penguncupan sehingga 0.7 peratus sebelum merudum secara mendadak kepada negatif 17.1 peratus pada suku kedua.

Beliau menjelaskan, pada ketika itu, ramai orang mula berdepan dengan masalah pekerjaan, kehilangan pendapatan serta mengalami masalah ekonomi ketara sehingga menyebabkan banyak pengusaha khususnya perusahaan kecil dan sederhana terjejas teruk.

“Pada masa tersebut, kadar pengangguran meningkat mendadak sehingga 3.9 peratus pada Mac tahun lalu, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan terus meningkat sehingga 5.3 peratus dengan jumlah seramai 826,100 penganggur dicatatkan.

“Sedar bahawa situasi ini tidak boleh dibiarkan dan mesti diatasi segera, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi seperti Prihatin, Penjana, Kita Prihatin, Belanjawan 2021 serta pelbagai lagi inisiatif dengan jumlah lebih RM300 bilion, satu jumlah tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan buku 365 Hari Mohd. Zuki Ali: Aspirasi & Cabaran dan program sepetang bersama media di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.

Menurut Mohd. Zuki, ternyata segala perencanaan itu membuahkan hasil pantas apabila ekonomi negara sehingga suku keempat 2020 mencatatkan trend lebih baik kepada -3.4 peratus berbanding -17.3 peratus berbanding suku kedua dan dijangka lebih baik pada suku pertama dan kedua tahun ini.

Dalam pada itu beliau berkata, buku berkenaan yang menggambarkan pemurnian hasrat dan cetusan idea sebagai pemimpin utama sektor awam di negara ini diharap dapat dijadikan panduan dan aspirasi kepada penjawat awam sepanjang setahun beliau diberi tanggungjawab memegang jawatan itu.

Katanya, situasi pandemik menuntut banyak perubahan kepada sektor awam terutama dari sudut cara bekerja dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama.

Beliau pada masa sama memberitahu, sebuah buku autobiografi khas beliau akan turut diterbitkan penghujung tahun ini yang akan mendedahkan pengalamannya yang tidak pernah dilalui orang lain iaitu ketika kali pertama Perdana Menteri meletak jawatan.

“Kita sebagai penjawat awam mesti meneruskan perkhidmatan dalam apa jua keadaan, jadi itu pengalaman (bagaimana saya lalui) dan akan dibukukan kerana orang ramai tidak tahu apa terjadi sebenarnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya