PUTRAJAYA: Tiada kes Covid-19 dilaporkan di Perlis hari ini selepas merekodkan 29 kes baharu semalam dan merupakan jumlah tertinggi dicatatkan sepanjang pendemik ini berlaku.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes mendadak itu disebabkan pengesanan aktif daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Persiaran Wawasan.
Beliau memberitahu, kluster itu diumumkan pada 7 Mac lalu hasil saringan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di DTI tersebut dengan 89 orang dikesan positif melalui saringan 263 individu melibatkan 102 tahanan PATI dan 161 anggota Jabatan Imigresen.
“Daripada jumlah keseluruhan 89 kes positif dalam kluster ini, 85 kes merupakan bukan warganegara dan empat kes adalah warganegara.
“Punca jangkitan dalam kluster DTI Persiaran Wawasan berkemungkinan daripada tahanan PATI yang ditahan di DTI atau komuniti. Keadaan sel yang sempit dengan jumlah tahanan yang ramai menyebabkan penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan berlaku secara mendadak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, Malaysia terus merekodkan kes positif Covid-19 di bawah 2,000 kes iaitu 1,354 kes manakala kes sembuh pula, 1,782 kes dengan empat kes kematian dan tiga kluster direkodkan dengan terdapat penurunan kes aktif iaitu 16,279 kes berbanding semalam, 16,711 kes.
Beliau berkata, sebanyak 158 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 71 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes baharu iaitu 577 kes diikuti Sarawak, 178 kes; Pulau Pinang, 158 kes; Johor, 121 kes dan Perak, 101 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Kuala Lumpur, 55 kes; Sabah, 39 kes; Terengganu, 37 kes; Kedah, 33 kes; Kelantan, 26 kes; Negeri Sembilan, 21 kes manakala Pahang, lima kes; Melaka, empat kes; Putrajaya, dua kes; Labuan, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya..
Noor Hisham berkata, kes kematian melibatkan semuanya warga tempatan iaitu dua di Kuala Lumpur manakala Selangor dan Sarawak, masing-masing satu kes.
“Semua kes adalah lelaki berusia antara 27 hingga 87 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.
Mengulas mengenai tiga kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
“Dua kluster tempat kerja, Kluster Jalan Tun Mutalib Tiga melibatkan Kota Tinggi, Johor, 10 kes dari 469 individu dan Kluster Jalan Sutera di Hulu Langat, Selangor, lapan kes dari 26 individu.
“Bagi kluster komuniti, Kluster Begalak melibatkan Sibu dan Song, Sarawak, seramai 335 individu telah disaring, di mana 49 kes dikesan positif,” katanya.
Tambahnya, lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Batu 57, Kluster Jalan Kuala Selangor, Kluster Tanjung Megah, Kluster Tembok Renggam, dan Kluster Jalan Jelatek. – UTUSAN ONLINE