PUTRAJAYA: Suasana di Lapangan Terbang Antrabangsa (KLIA) lengang tanpa kelihatan kelibat diplomat atau warga Korea Utara untuk berangkat pulang ke negara mereka.
Daripada tinjauan data masa penerbangan hari ini, ia hanya merekodkan jadual penerbangan antarabangsa ke Bangalore, New Delhi, Bangkok, Dhaka dan Yangon.
Difahamkan tiada penerbangan terus ke Pyongyang dan sebarang penerbangan ke negara itu perlu transit dahulu di Beijing.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklumat tepat daripada Wisma Putra dan Jabatan Imigresen berhubung pergerakan diplomat keluar dari negara ini gagal apabila hanya dimaklumkan bahawa mereka tidak ada maklumat tersebut.
Semalam, Malaysia membuat ketegasan bahawa semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur diarah meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam susulan keputusan drastik kerajaannya mengarahkan penutupan Kedutaan Malaysia di Pyongyang.
Kerajaan mengikut jejak Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang yang operasi pejabat itu telah pun digantung sejak 2017.
Tindakan itu katanya, sebagai merujuk kenyataan Kementerian Luar Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berkuat kuasa semalam.
Ia ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan seorang rakyatKorea Utara, Mun Chol-myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan jenayah.
Wisma Putra menegaskan, perbicaraan tertuduh dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Malaysia bertegas menolak permintaan DPRK untuk campur tangan terhadap sistem kehakiman negara ini.-UTUSAN ONLINE