IPOH: Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su meminta Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dakwaan beliau mengenai wujudnya pengundi hantu pada pemilihan jawatankuasa DAP Perak dalam konvensyen parti itu di sini, Ahad lalu.
Thomas yang kalah dalam pemilihan tersebut berkata, adalah jelas pada hari pengundian tersebut ada pihak dan individu yang menyalahgunakan senarai kehadiran ahli dengan membawa lebih ramai perwakilan.
Menurutnya, perkara itu adalah satu tindakan yang tidak betul.
“Pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, saya berada di konvensyen tersebut dan ketika mesyuarat sudah pun bermula, saya mendapat tahu pendaftaran untuk perwakilan masih diteruskan.
“Saya mendapati senarai kehadiran ahli telah digunakan oleh sesetengah kumpulan dan individu untuk memanggil dan membawa lebih ramai perwakilan.
“Saya membantah tindakan itu dan meminta ia dihentikan namun bantahan saya tidak dipedulikan. Apa yang berlaku bertentangan dengan perjuangan asas DAP yang berjuang untuk ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau hilang pertimbangan sehingga meninggikan suara yang mencetuskan pertengkaran sesama masa ahli parti.
“Dalam perkara ini, saya akui tindakan saya itu mencemarkan imej parti dan imej saya sendiri. Untuk itu saya menyatakan rasa kesal dan meminta maaf, saya mengambil tanggunggungjawab di atas kejadian tersebut.
“Saya meminta CEC melihat penjelasan saya mengenai apa yang telah berlaku dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dakwaan saya.
“Saya percaya ini selari dengan apa yang diperjuangkan DAP iaitu adil dan pemilihan yang telus,” katanya.
Pada pemilihan jawatankuasa DAP Perak Ahad lalu, gandingan Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran kalah kepada kumpulan Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.
Kor Ming yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan menerima undi tertinggi iaitu sebanyak 1,228 manakala Ahli Parlimen Beruas, Koo Ham kelima paling banyak iaitu 1,216 undi.
Thomas dan Kulasegaran mengalami kekalahan teruk apabila masing-masing menerima hanya 550 dan 540 undi.
Mesyuarat pertama jawatan kuasa yang memenangi pemilihan itu kemudiannya mengumumkan Kor Ming kekal sebagai Pengerusi DAP negeri manakala Koo Ham kekal sebagai Penasihat DAP Perak. – UTUSAN ONLINE