TH jangka kos haji naik RM25,000 - Utusan Malaysia

TH jangka kos haji naik RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos menunaikan haji tahun ini dijangka akan naik sebanyak RM25,000 bagi setiap jemaah berbanding tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang dikenakan Arab Saudi berkuat kuasa Julai tahun lalu.

“Kos bagi ibadah haji bagi tahun 2019 dan 2020 adalah sebanyak RM22,900 bagi setiap jemaah manakala dijangka dengan kenaikan 15 peratus VAT ia bakal meningkat kepada RM25,000.

“Bayaran yang bakal ditanggung oleh para jemaah haji bagi tahun ini masih belum ditetapkan walaupun kos mengerjakan haji meningkat hampir sembilan peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Menara TH di sini hari ini.

Tambahnya, ia belum mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, penjarakan fizikal dan sebagainya yang mungkin memberi impak kepada kos tersebut.

“Pihak TH masih belum menetapkan kos bayaran haji yang sebenar buat masa ini kerana perlaksaannya masih belum ditetapkan dan apabila sudah ada keputusan, kita akan umumkan bayaran haji tersebut,” katanya.

Tambahnya,pelaksanaan haji bagi tahun ini masih belum mendapat kata putus daripada kerajaan Arab Saudi.

Menurut Syed Saleh, kuota semasa yang masih di dalam giliran menunggu adalah seramai 31,600 jemaah haji dan kesemua mereka telahpun menerima surat tawaran haji bagi tahun ini.

Namun keutamaan akan diberikan kepada para jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun lepas.

“Dan jika jumlah kuota dikurangkan kita hanya dapat membawa sebahagian sahaja dan selebihnya akan dibawa ke hadapan,” katanya.

Katanya, keputusan sama ada jemaah haji akan diberikan keutamaan bagi mendapatkan suntikan vaksin adalah memerlukan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu.

“Ini kerana hanya pihak KKM sahaja yang mempunyai pelan vaksinasi bagi seluruh rakyat Malaysia dalam mengambil kira keperluan para bakal-bakal haji ini serta tempoh yang hampir,” katanya.

Tegasnya, proses pemilihan masih belum bermula kerana kriteria pemilihan masih belum ditetapkan buat masa ini namun persediaan awal telahpun dimulakan kepada para bakal jemaah haji tahun ini.

“Walaubagaimanapun, bakal jemaah haji diminta bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkinan adanya peraturan-peraturan baharu yang bakal diperkenalkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya