KUALA LUMPUR: Terpulang kepada perwakilan sama ada bersetuju atau tidak dengan ucapan dasar Presiden parti yang menegaskan Barisan Nasional (BN) bakal bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti bersama parti komponen, MCA dan MIC.
Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu perlu dinilai sebaiknya oleh semua perwakilan dalam perbahasan hari ini.
“Saya merasakan itu adalah hak Presiden memilih jalan cerita naratif sebagai satu ucapan dasar dan saya fikir ia memberi peluang kepada perwakilan untuk menilai sebaiknya.
“Sekurang-kurangnya Presiden buat penjelasan nak bertanding solo, sebelum ini kita tengok ada kerjasama dengan orang itu, orang ini,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, hari ini.
Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya memutuskan BN akan bertanding solo dan menggunakan logo serta lambang dacing dalam PRU nanti.
Jelas beliau, pihaknya bukan riak dan sombong untuk bertanding sendiri sebaliknya mahu dominan dalam pembentukan kerajaan.
Katanya, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama.