KUALA LUMPUR: Berikutan teguran Ketua Polis Negara yang memberi amaran kepada anggotanya supaya jangan ‘hanya goyang kaki dan melambai tangan’ di sekatan jalan raya (SJR), berlaku perubahan mendadak dalam prosedur operasi standard (SOP) SJR.
Petugas SJR dilihat mula melaksanakan tugas dengan penuh komited selain memeriksa secara terperinci setiap kenderaan yang melintasi sekatan berkenaan.
Bagaimanapun ‘SOP’ tersebut menyebabkan pengguna jalan raya terperangkap selama beberapa jam dengan kenderaan bersusun sejauh tiga kilometer di kebanyakan sekatan yang dijalankan.
Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai kerana mengganggu urusan penting dan pergi ke tempat kerja.
Penuntut universiti awam, Kamarul Imtiyaz Kamarul Zaman, 25, berkata, pelaksanaan sekatan yang lebih ketat itu mengakibatkan masa yang dijadualkannya ke kuliah terbuang begitu sahaja.
“Saya memang tak setuju sebab tidak praktikal untuk mereka yang ingin bekerja atau ke kuliah, tetapi sudah terlewat beberapa jam hanya kerana pihak berkuasa membuat pemeriksaan satu-satu kenderaan padahal kita sudah ada dokumen lengkap yang diluluskan polis seperti permit pergerakan.
“Sudahlah buang masa, beratur panjang dan nak sampai ke destinasi pun susah. Ini benar-benar memberi tekanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pekerja swasta, Normanul Hakim Ahmad Bukhori, 34, berkata, kawalan ketat itu menyebabkannya terlewat lebih sejam ke tempat kerja sedangkan masa yang diambil dari rumah ke pejabat kurang 30 minit.
“Banyak kerja di pejabat yang terpaksa tangguh. Mesyuarat bersama beberapa klien juga saya batalkan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran terhadap ketua polis negeri jika gagal mengawal anggota petugas SJR yang tidak melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab.
Melalui pemerhatiannya, terdapat sebilangan anggota di lapangan duduk di dalam khemah rehat dan membiarkan kenderaan lalu begitu sahaja sambil melambai tangan tanpa mengambil serius keadaan semasa.
Penuntut universiti swasta, Nur Hadzlina Hashrim, 24, berpandangan, sememangnya SJR dilakukan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.
Namun katanya, polis boleh menjalankan SJR secara dua atau tiga lorong bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan.