Terpaksa bergolek untuk bergerak - Utusan Malaysia

Terpaksa bergolek untuk bergerak

NORAIDAH Makkup membasuh pinggan di ruang sinki rendah yang dibina seorang penderma di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Itulah nasib Noraidah Makkup, 25, apabila dilahirkan mengalami kecacatan fizikal berbanding insan lain akibat kedua-dua belah kaki dan tangannya pendek, walaupun badannya normal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wanita orang kurang upaya (OKU) itu berkata, akibat kecacatan dirinya, dia tidak mampu berdiri dan terpaksa bergolek jika mahu bergerak ke satu-satu tempat.

“Saya tetap bersyukur dan istiqamah dilahirkan dalam bentuk fizikal sebegini kerana masih diberi kekuatan dan mampu membuat kerja yang ringan di rumah,” katanya di Kampung Jerantut Feri di sini, semalam.

Bercerita tentang keadaan dirinya, Noraidah berkata, dia tidak menghadapi masalah pergerakan pada awalnya malah sewaktu kecil dia boleh berjalan dan aktif bermain seperti kanak-kanak lain.

Menurutnya, sejak lapan tahun lalu dia mula mengalami kesukaran berjalan dan bergerak yang berkemungkinan berpunca berat badan semakin bertambah.

Wanita itu yang tinggal bersama abangnya, Mohammad Asrah, 26, berkata, dia boleh melakukan rutin harian seperti membasuh pakaian, menyapu sampah dan memasak tetapi semua kerjanya dibuat sambil duduk.

Mengakui tidak boleh berdiri dan sukar mencapai barang yang diletakkan di tempat tinggi, dia lazimnya meminta bantuan sepupunya, Rosmah Abdul Rahim, 40, yang merupakan jirannya bagi memudahkan setiap kerja di rumah.

Malah kata wanita itu, pergerakan secara bergolek dalam rumah amat memenatkan sehingga selepas dua tiga kali berulang ke tempat yang jauh, dia terpaksa berehat kerana keletihan.

Katanya, sebelum keluar bekerja, abangnya meletakkan semua ikan dan sayur-sayuran di bahagian bawah peti ais untuk memudahkan dia mengambil dan memasak.

“Mujurlah ada insan yang membantu membina sinki yang rendah, jadi mudahlah saya membuat kerja dapur,” katanya.

Wanita itu reda dengan anugerah Allah SWT, tetapi tidak dapat menyembunyikan kesukaran untuk bergerak di dalam rumah dan luar sambil berharap pihak tertentu dan dermawan dapat membantu menyumbang kereta roda khas yang mempunyai alat kawalan bagi memudahkan pergerakan.

“Abang saya bekerja di sebuah bengkel kereta cuma berpendapatan harian secara kecil-kecilan mana mampu membelikan peralatan yang mahal.

“Saya berharap ada pihak tertentu dan dermawan yang dapat menyumbangkan kerusi roda khas yang ada alat kawalan sesuai memudahkan saya dapat bergerak dalam rumah ini dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 hanya digunakan untuk membeli lampin pakai buang manakala barang keperluan dapur disediakan oleh abangnya.

“Saya juga berterima kasih dan terharu apabila Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah bandar Jerantut kerap kali datang memberikan sumbangan barang keperluan dapur dan lampin pakai buang,” katanya.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah untuk kebajikan Noraidah bolehlah menghubunginya di talian 017-9269959 atau sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasiona (BSN) bernombor 0610541000032143. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya