Teromba bertepatan aspirasi USIM medan himpunan ilmu - Utusan Malaysia

Teromba bertepatan aspirasi USIM medan himpunan ilmu

TUNKU Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (dua dari kiri) berkenaan melancarkan buku Adab Dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu di Galeri Canselori, USIM, Nilai, Seremban. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebagai usaha memelihara khazanah adat budaya dan sastera di negeri ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan buku Adab Dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, usaha tersebut diambil bersesuaian dengan kedudukan USIM di Negeri Sembilan selain memelihara kesenian teromba yang dilihat bertepatan dengan aspirasi universiti sebagai medan himpunan ilmu.

“Khidmat USIM kepada masyarakat di Negeri Sembilan sangat penting dan bermakna dalam usaha untuk memasyarakatkan universiti dan memastikan USIM berfungsi sebagai institusi pendidikan tinggi yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

“Penerbitan manuskrip buku itu adalah satu bentuk sumbangan USIM dalam pemuliharaan warisan adat budaya khususnya di Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran buku berkenaan di Galeri Canselori, USIM, Nilai dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.

Buku setebal 680 mula surat tersebut merupakan hasil tulisan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (Teromba Penglipur Lara), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin yang menerangkan tentang konsep, falsafah dan himpunan 13 tema teromba yang mempunyai kaitan rapat dengan ajaran Islam.

Teromba merupakan genre sastera terawal yang wujud dan di dalamnya terdapat seperti pantun, mantera, syair, seloka, gurindam, peribahasa, bidalan, ungkapan dan teka-teki.

Buku itu memaparkan tentang teromba sebagai perbilangan adat iaitu ikatan puisi bebas memuatkan perihal undang-undang dan adat istiadat dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Sementara itu, ketika bertitah merasmikan pelancaran buku tersebut, Tunku Ali Redhauddin berharap, melalui penerbitan tersebut, kesenian teromba dapat diamati dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Inisiatif Pusat Kebudayaan USIM untuk membukukan manuskrip ini mengangkat identiti masyarakat di tanah beradat. Saya yakin usaha ini akan memelihara keindahan tradisi dan bakal menjadi khazanah bernilai tinggi kepada generasi masa depan,” titahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya