Ternak kerbau untuk produk keju di Pahang Barat - Utusan Malaysia

Ternak kerbau untuk produk keju di Pahang Barat

MOHD SOFFI Abdul Razak (tiga dari kiri) sedang menyampaikan bahan makanan ternakan ruminan kepada pengusaha di Jerantut semalam. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kawasan Pahang Barat bakal menghasilkan produk keju terbesar apabila kerajaan negeri membuka pusat penternakan kerbau seluas 283 hektar di daerah Raub tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, projek bersepadu itu menyasarkan pengeluaran susu kerbau untuk menjadikan sumber utama penghasilan keju bagi tujuan komersial.

“Pendekatan ini untuk memperkasakan industri ternakan termasuk mewujudkan baka terbaik yang dibawa dari luar negara.

“Projek ini menyaksikan sebanyak 500 ekor baka kerbau bakal dibawa masuk untuk menjalani pemanian beradas bagi jaminan baka yang berkualiti,” katanya di majlis Sidang Penternakan Ruminan di Jerantut.

Menurut Mohd Soffi, semua pemain industri ternakan diharapkan dapat mengemblengkan tenaga bagi meningkatkan prestasi amalan ternakan terbaik untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi serta diikhtiraf pada peringkat antarabangsa.

“Sehingga ini pengeluaran daging lembu dan kerbau sebanyak 49 peratus, manakala kambing dan biri-biri sebanyak 10 peratus yang masih banyak ruang untuk pengusaha meningkatkan pengeluaran bagi mengisi permintaan tempatan.

“Di daerah ini (Jerantut) terdapat ramai pengusaha ternakan lembu dan kerbau dianggarkan nilai ternakan sebanyak RM30.5 juta dan sewajarnya peluang ini perlu direbut dalam kalangan belia.

“Sehingga ini Pahang merupakan pengeluar lembu tertinggi di Semenanjung bernilai RM1.7 billion antara penyumbang produk susu bagi industri makanan dan minuman,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Kamaliah Ghazali berkata, program sidang perternakan yang diadakan di daerah ini sebagai nilai tambah kepada pengetahuan dan kemahiran sedia ada bagi penternak meningkatkan kualiti hasil (ternakan).

“Pahang antara pengeluar susu tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 31 juta liter dan penternak seharusnya merebut peluang bagi meningkatkan pengeluaran.

“Selain itu, penternak juga perlu mengawal penyakit mulut dan kuku (FMD) bagi memastikan kualiti dan kesihatan ternakan sentiasa terbaik dan terkawal,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya