Terima rasuah syarikat lori: Dua pegawai JPJ Selangor direman - Utusan Malaysia

Terima rasuah syarikat lori: Dua pegawai JPJ Selangor direman

ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa dua pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini membenarkan dua pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor direman selama enam hari bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan bernilai keseluruhan RM73,850 di antara 2016 hingga 2018.

Perintah reman terhadap kedua-dua individu berusia 45 dan 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit yang berjawatan Ketua Penolong Pegawai Penguat Kuasa dan Pembantu Penguat Kuasa Kanan di JPJ Selangor menerima rasuah bulanan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan Ketua Penolong Pegawai Penguat Kuasa itu telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan di antara RM100 hingga RM5,000 berjumlah keseluruhan RM69,850.

“Suspek yang melakukan kesalahan tersebut selama dua tahun bermula 2016 hingga 2018 itu dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan dan lain-lain kesalahan jalan raya,” jelasnya.

Jelas sumber lagi, bagi seorang lagi individu pula menerima suapan secara bulanan bermula Disember 2017 hingga Mac 2018 dengan nilai keseluruhan RM4,000 bagi tujuan sama.

“Kedua-dua suspek ditahan petang semalam selepas hadir di Pejabat SPRM Selangor,” katanya.

Sementara itu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Media melaporkan seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai JPJ ditahan SPRM menerusi Op Sukat yang dilakukan secara besar-besaran semalam.

Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun ditahan di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Terdahulu, JPJ pernah digempur SPRM beberapa tahun lalu kerana melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan terutama membawa muatan berlebihan namun aktiviti itu dikesan terus berleluasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya