ALOR SETAR: Kerajaan negeri Terengganu bertindak lebih awal mengadakan promosi untuk menarik para pelancong domestik ke negeri itu dalam tempoh pasca Covid-19 ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri melancarkan program Jelajah Beautiful Terengganu – Pakat Maghi Teganu selepas pengumuman kerajaan yang membenarkan gelembung perjalanan domestik pelancongan.
Menurutnya, program tersebut merupakan salah satu usaha untuk memulihkan dan merancakkan kembali industri pelancongan yang terjejas sejak penularan Covid-19 di negara ini setahun lalu.
“Negeri Kedah menjadi negeri pertama Siri Jelajah Beautiful Terengganu kerana Kedah merupakan negeri yang mempunyai potensi cukup besar dalam merancakkan industri pelancongan domestik.
“Menerusi program itu, kedua-dua negeri dapat menjalin hubungan dua hala termasuk berkongsi pendapat dalam merancakkan lagi sektor pelancongan antara kedua-dua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Siri Jelajah Beautiful Terengganu – Pakat Maghi Teganu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd. Ghani.
Program itu melibatkan penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada lapan pengusaha hotel, tiga agensi pelancongan dan dua agensi kerajaan negeri serta pengusaha produk nasi dagang.
Mohd. Huzairil menambah, pihaknya selepas ini meneruskan siri jelajah tersebut ke beberapa buah negeri lain dalam mempromosikan produk-produk pelancongan dan perkhidmatan pelancongan yang terdapat di Terengganu.
“Selain itu, pada program itu, peserta siri jelajah tersebut juga akan mengadakan lawatan pembelanjaran ke produk-produk tarikan pelancongan yang terdapat di Kedah, sekali gus dapat dijadikan rujukan bagi menambah baik produk-produk sedia ada di Terengganu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE