Tekong warga emas maut atas bot ketika keluar memancing - Utusan Malaysia

Tekong warga emas maut atas bot ketika keluar memancing

MAYAT seorang lelaki yang meninggal dunia selepas pengsan ketika keluar memancing bersama rakannya di Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai, Johor. -IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tekong sebuah bot pancing meninggal dunia ketika keluar memancing bersama rakannya berhampiran Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai, malam tadi. 

Pengarah Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.40 malam.

Menurutnya, panggilan itu diterima daripada seorang lelaki iaitu rakan kepada mangsa yang keluar memancing bersama-sama.

“Pengadu memaklumkan mangsa pengsan ketika berada di dalam bot dan memohon bantuan kerana tidak mahir mengemudi enjin bot tersebut. 

“Berdasarkan laporan, mangsa, Borhan Muhamed ,61, baru sahaja keluar dari Jeti Simpang Kiri, Sungai Karang untuk memancing, namun, telah jatuh pengsan semasa hendak memotong jaring yang tersangkut pada enjin bot mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, sejurus menerima maklumat, Bot Kilat 12 telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan, sementara MRSC menghubungi Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan bantuan ambulans dan pegawai perubatan. 

“Setibanya di lokasi, anggota membawa mangsa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai perubatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.05 malam.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Nurul Hizam turut meminta orang ramai menghubungi hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 bagi insiden kecemasan atau kesalahan jenayah di perairan Johor.

“Komuniti Maritim juga digalakkan membawa ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan ke MRCC terutamanya ketika berada di kawasan tiada capaian talian komunikasi,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya