Tekad Menteri UMNO untuk terus bertugas - Utusan Malaysia

Tekad Menteri UMNO untuk terus bertugas

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesepakatan semua Menteri UMNO untuk terus kekal berada dalam Kabinet adalah demi membantu kerajaan dan negara menangani wabak

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia adalah satu tekad pemimpin-pemimpin UMNO dalam barisan kepemimpinan kerajaan itu untuk memastikan semua perancangan yang diatur dan digariskan dilaksanakan dengan baik.

Sebagai individu yang ditugaskan menjaga portfolio penting dalam isu kesihatan rakyat, kata beliau, ia merupakan tugas yang amat besar dalam memastikan urusan negara dalam mendepani pandemik itu.

“Perdana Menteri telah pun mengeluarkan kenyataan pagi ini yang sangat telus dan berharga, apabila kita sebenarnya mempunyai tugas yang besar daripada segala-galanya iaitu memastikan bahawa pengurusan negara dalam menangani wabak Covid-19, pemulihan ekonomi dan sebagainya.

“Untuk itu, kekal kita dalam Kabinet dan juga kerajaan untuk membantu negara perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan menteri-menteri daripada UMNO sebenarnya bertekad untuk bersama-sama dengan kerajaan sekarang ini, memastikan semua yang telah kita gariskan untuk dilaksana, dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program di bawah inisiatif Gaya Hidup Sihat Komuniti Perpaduan-Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tempoh 2021-2025, di sini hari ini.

Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, apa yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini hanyalah untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru, tegas beliau, sebelum pelaksanaan itu, menteri-menteri UMNO masih lagi untuk bersama-sama kerajaan memastikan tanggungjawab yang diberikan.

Katanya, apatah lagi Menteri UMNO seperti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menguruskan kebanyakan isu keselamatan dan beliau pula ditugaskan sebagai Menteri Kesihatan yang menguruskan kes-kes menangani hal ehwal pandemik Covid-19 dan pengurusan kesihatan.

Begitu juga katanya, Khairy Jamaluddin pula diberi tanggungjawab dalam pelaksanaan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menteri-menteri lain yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk sama-sama bekerja untuk rakyat.

“Jadi, kita semua melihat ke hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN