Tebang segera pokok, jangan tunggu tragedi - Utusan Malaysia

Tebang segera pokok, jangan tunggu tragedi

NORMADIAH Kassim menunjukkan surat balasan aduan yang dibuat kepada PBT yang memohon sebatang pokok sena berusia lebih 30 tahun yang dibimbangi boleh mengundang bahaya kepada penduduk di Rumah Rakyat Kampung Sri Lalang.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Rumah Rakyat Kampung Sri Lalang, Rantau dekat sini memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menebang sebatang pokok sena yang berusia lebih 30 tahun di kawasan itu.

Salah seorang penduduk, Normadiah Kassim, 65, berkata, pokok besar tersebut dibimbangi boleh membahayakan penduduk terutama ketika angin kencang.

Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada PBT namun tiada tindakan diambil.

“Saya tidak kisah jika ia tidak mengundang bahaya namun pokok ini jaraknya dengan rumah saya hanya sekitar 40 meter. Banyak kali saya lihat dahannya patah semasa angin kencang.

“Ketika angin kencang kelmarin, dahannya sekah dan mujur tiada penduduk yang melalui kawasan ini. Pokok ini dikatakan ditanam orang awam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Asiah Abdul Rahman, 57, berkata, dia bimbang berlaku kejadian tidak diingini semasa menunggu bas yang terletak bersebelahan dengan pokok besar berkenaan.

“Kawasan ini memang kawasan angin melintang, pokok ini lebih baik ditebang daripada dibiarkan tumbang sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sri Lalang, Mohd. Hazaz Kassim, 50, berkata, pihaknya sudah mengusulkan permohonan tersebut sejak tiga tahun lalu namun tiada tindakan.

“Saya harap aduan ini akan dipertimbangkan kembali untuk tindakan penebangan pokok berkenaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN