Tayar terbuang dijadikan produk hiasan rumah - Utusan Malaysia

Tayar terbuang dijadikan produk hiasan rumah

ZULKIFLI Ibrahim menghasilkan tempat mencuci tangan daripada tayar terbuang di Kampung Perik, Kuala Nerang, Padang Terap. -UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Bahan buangan atau terpakai bukan sahaja boleh dijadikan hiasan rumah yang menarik dan unik, malah dapat menjana pendapatan jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Usaha itu dilakukan seorang penduduk Kampung Perik di sini, Zulkifli Ibrahim, 48, yang menghasilkan pelbagai produk daripada tayar terbuang seperti tempat mencuci tangan, pasu bunga dan bekas simpanan air.

Zulkifli berkata, dia mula mencuba menghasilkan pasu bunga daripada tayar terbuang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Seorang guru kemudian mencadangkan saya menghasilkan tempat mencuci tangan atau singki di hadapan kelas.

“Ini bagi memudahkan pelajar mencuci tangan selepas makan di dalam kelas yang mana mereka tidak perlu lagi ke tandas,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Zulkifli adalah pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Puan Sharifah Hanifah, Kuala Nerang di sini.

Katanya, singki daripada tayar terbuang yang dilukis dan diwarnakan dengan gambar menarik serta berwarna-warni itu turut membantu menceriakan kawasan sekolah.

“Saya menerima tempahan dari beberapa sekolah di sekitar Kuala Nerang dan penduduk yang mahu menghiaskan kawasan rumah mereka,” ujarnya.

Menurutnya, harga singki menggunakan bekas plastik dijual pada harga RM120 manakala bekas keluli pula berharga RM180 setiap satu dan pasu bunga atau sayur berharga antara RM5 hingga RM25.

“Alhamdulillah, jualan produk daripada tayar terbuang terutama singki menjadi rezeki tambahan buat saya sekeluarga,” katanya bapa kepada tiga anak itu.

Tambahnya, dia merancang mempelbagaikan produk dengan menghasilkan kerusi dan meja selain menerima tempahan berdasarkan idea dan cadangan pelanggan.

“Kebanyakan bentuk hiasan tayar terpakai yang dihasilkan adalah berdasarkan idea yang datang secara spontan selain kehendak pelanggan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN