BAGAN DATUK: Warga asing yang menguasai ladang-ladang sayur khususnya di utara tanah air berpotensi menjadi ‘kartel’ dan menguasai industri pertanian negara jika kegiatan mereka tidak dihentikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek berkata, malah ketika ini pun kemungkinan sudah wujud kartel dalam kalangan warga asing apabila mereka meneroka tanah milik penduduk tempatan selain menjadi tauke kebun sayur-sayuran.
Menurutnya, melihatkan keadaan itu, tiada jaminan pendatang asing terlibat tidak menguasai sektor pertanian pada masa akan datang.
“Tidak mustahil mereka ini akan menjadi kartel dalam industri pertanian negara, sekarang ini pun sudah berlaku.
“Katakan apabila berlaku masalah tak cukup bekalan sayur, mereka inilah yang menguasainya ketika itu,” katanya ketika ditemui semasa melawat projek tanaman cili fertigasi di Rungkup, dekat sini semalam.
Mengenai aktiviti warga asing itu memberi keuntungan kepada rakyat kerana menjual sayur-sayuran dengan harga yang lebih murah, Nordin berkata, sebenarnya negara mengalami kerugian kerana aktiviti seumpama itu.
Katanya, warga asing berkenaan tidak memiliki syarikat termasuk permit.
“Memang betul mereka menjual hasil tanaman dengan harga yang murah dan menguntungkan pengguna tapi sebenarnya perkara ini menyebabkan kita kerugian banyak aspek kerana mereka tidak memberikan pulangan dari segi cukai kepada negara,” katanya.
Nordin berkata, untuk mengatasi masalah itu, penguatkuasaan yang serius perlu dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka masa pendek.
Katanya, untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu menyusun semula program pembangunan pertanian khususnya industri makanan secara komprehensif.
“Ia melibatkan tenaga kerja dalam negara terutama dalam golongan muda yang perlu ditingkatkan. Sudah tiba masanya kerajaan menerapkan nilai-nilai pertanian sejak di bangku sekolah supaya mereka yang didedahkan ini akan terlibat dengan sektor pertanian dengan secara komersial,” katanya.
Menurutnya, selain itu kerajaan perlu menggalakkan kempen makan makanan tempatan supaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang negara beransur-ansur mengurangkan makanan import dan dapat mengisi tenaga tempatan dalam bidang pertanian secara berperingkat.
Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia semakin berani ‘melanggar’ sektor selain daripada yang dibenarkan mereka bekerja di negara ini termasuk mulai menguasai ladang-ladang sayur khususnya di utara tanah air.
Jika dahulu mengambil upah tetapi kini mereka meneroka tanah milik penduduk tempatan selain menjadi tauke kebun sayur-sayuran malah mereka juga menjual sayur-sayuran di pasar tempatan dengan harga yang lebih murah. – UTUSAN ONLINE