JASIN: “Saya terpaksa jual tiga kereta semata-mata untuk membayar gaji 16 pekerja,” demikian keluh Pengurus Gala Marine Enterprise, Abd. Razak Husin, operator yang mengendalikan feri ulang-alik ke Pulau Besar di Anjung Batu, Serkam dekat sini.
Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, syarikatnya mengalami kerugian teruk apabila perkhidmatan feri terpaksa ditutup selama tiga bulan selepas semua sektor pelancongan tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, beliau terpaksa menjual tiga kereta miliknya hanya untuk membayar gaji pekerja, memandangkan sebahagian daripada mereka sudah berkeluarga.
“Saya tidak sampai hati untuk membuang semua pekerja kerana mereka ini terdiri daripada golongan sederhana. Ada isteri yang tidak bekerja bergantung pendapatan daripada suami yang tidak ada sumber lain.
“Walaupun Melaka masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sempadan daerah telah dibuka, namun kunjungan penduduk di negeri ini melawat Pulau Besar sehingga kini tidak ada langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Abd. Razak menambah, kebiasaannya perkhidmatan feri yang disediakan dari jeti Anjung Batu ke jeti Pulau Besar adalah sebanyak lima perjalanan iaitu pada sebelah pagi, pukul 8 pagi, 10 pagi dan 12 tengah hari manakala pada sebelah petang pula bermula pukul 2.30 dan 5 petang.
Begitupun jelasnya, perkhidmatan yang disediakan sewaktu PKPP hanya dua perjalanan iaitu pada pukul 8 pagi dan 5 petang.
“Perkhidmatan feri yang ada ini semata-mata hendak menghantar 30 pekerja yang bertugas di Pulau Besar setiap hari. Ada pendapatan sedikit tetapi itu hanya untuk membayar gaji pekerja yang bertugas,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE