KOTA BHARU: Selepas tapak pelupusan sampah di Tumpat terbakar selama lebih dua minggu sejak bulan lepas, kebakaran berlaku pula di tapak pelupusan sampah di Jeli, dekat sini, Rabu lalu.
Bagaimanapun, kebakaran di tapak pelupusan sampah di Sungai Mekong, Jeli yang dilaporkan bermula pukul 9.30 malam itu dapat dipadamkan sepenuhnya pasukan bomba dalam tempoh 24 jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Adni Ibrahim berkata, kebakaran tersebut melibatkan tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar milik Majlis Daerah Jeli (MDJ).
Katanya, usaha memadam kebakaran dilakukan 15 anggota bomba dengan bantuan agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan MDJ sendiri.
“Kita menggunakan dua jengkaut milik MDJ bagi mengalihkan timbunan sampah sebelum usaha pemadaman dibuat dengan menggunakan sumber air terbuka.
“Kebakaran padam sepenuhnya pukul 5.45 petang semalam dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, bomba mengambil masa lebih dua minggu bagi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah seluas lapan hektar di Kok Bedullah, Tumpat yang terbakar pada 19 Februari lalu.
Kebakaran itu mengakibatkan asap tebal sehingga 23 keluarga berhampiran lokasi kejadian terpaksa mengosongkan rumah masing-masing sebelum ditempatkan di Resort Pantai Sri Tujuh, Tumpat. – UTUSAN ONLINE