Tapak 'mengoca' selepas menuai dibina - Utusan Malaysia

Tapak ‘mengoca’ selepas menuai dibina

SAARI Abdullah (tengah) dan Mohd. Faizal Abdul Manap (kiri) dan Muhammad Zahir Mazlan melawat tapak Pesta Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Aktiviti ‘mengoca’ yang lazimnya diadakan selepas habis menuai di sawah padi akan dijadikan sebagai satu produk pelancongan di Negeri Sembilan.

Sehubungan itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Saari Abdullah berkata, tapak ‘mengoca’ yang baharu telah dibina dan terletak dalam kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 dekat sini.

Katanya, pihak Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) juga menaik taraf kawasan sekitar Perkampungan Budaya Terachi sebagai satu lokasi pelancongan terbaharu di daerah ini.

“Lokasi kawasan yang strategik itu sesuai untuk dijadikan tapak ‘mengoca’ yang menjadi merupakan program tahunan di Negeri Sembilan.

“Sebagai tambah baik pada masa akan datang kita juga akan menaik taraf parit buang sedia ada dan membina tali air konkrit baharu berhampiran dengan perkampungan budaya sebagai tempat mandi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek kerja-kerja menaik taraf tapak Pesta Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap dan Pengurus Besar LPNS, Muhammad Zahir Mazlan.

‘Ngoca’ merupakan perkataan dalam dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menangkap ikan menggunakan peralatan seperti jala, tangguk atau penapis plastik.

Menurut Saari, beliau juga difahamkan lokasi itu turut menjadi tapak sukan bola sepak sawah pertama di negara ini dan sukan-sukan rakyat yang lain.

“Sebagai jabatan teknikal yang bertanggung jawab menyediakan infrastruktur pengairan dan saliran di tapak pesta kami akan sentiasa memberi sokongan dan komitmen untuk merealisasikan projek itu.

“Projek tersebut telah dibina dalam sebahagian kawasan Skim Pengairan Varu 17 Terachi dengan keluasan 2.3 hektar di bawah kawalan Pegawai Daerah Kuala Pilah,” tambahnya.

Jelasnya, projek tersebut telah disiapkan pada 4 Februari lalu selepas dimulakan pada 19 Oktober tahun lepas dengan menelan belanja lebih RM450,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya