LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan bot nelayan laut dalam tempatan yang menangkap ikan di kawasan larangan iaitu pesisiran pantai dekat Teluk Sekadeh, Pulau Pangkor di sini Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot nelayan kelas A itu dikesan berada pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan Teluk Sekadeh kira-kira pukul 6 petang.
“Bot peronda yang sedang melaksanakan Op Pintas telah mengesan sebuah bot kelas A dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Pangkor.
“Bot dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah tiga batu nautika dengan menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, pemeriksaan lanjut mendapati, 13 kru termasuk tekong merupakan warga Malaysia yang berusia lingkungan 18 hingga 75 tahun dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Katanya, tekong dan kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan dekat sini bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Penahanan ini membuktikan kita sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara terutama Perak masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.