JOHOR BAHRU: Daerah Tangkak dan Muar dikenal pasti sebagai lokasi yang mempunyai titik panas tinggi yang berkemungkinan mengakibatkan kebakaran terbuka ekoran keadaan cuaca panas dan berangin ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelak sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
Menurut beliau, peringatan juga diberi kepada pemilik kebun agar tidak membuat pembakaran secara terbuka bagi membersihkan kawasan tanaman mereka ketika musim cuaca panas ketika ini.
“Hal ini kerana pembakaran secara terbuka dibimbangi boleh menyebabkan berlaku kebakaran di luar kawalan mereka sekaligus boleh menyebabkan berlakunya bencana lebih besar.
“Antara lokasi titik panas yang telah dikenal pasti melibatkan beberapa daerah khususnya di Tangkak dan Muar, di mana bacaan haba di sana agak tinggi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Penyesuaian Ketua Balai dan Pegawai Bomba Kanan II di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini hari ini.
Dalam program berkenaan, seramai lima pegawai ditauliahkan sebagai ketua balai, manakala 39 anggota yang lain dinaikkan pangkat kepada pegawai bomba kanan II.
Tambah Yahaya, pihaknya juga akan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman terutamanya soal pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan berangin ketika ini.
“Sebagai persediaan untuk menghadapi situasi berkenaan, kita telah mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Geosains dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti punca air yang boleh digunakan di kawasan tertentu.
“Jabatan Geosains membantu mengenal pasti punca air bawah tanah, manakala JPS membantu mengenal pasti punca air daripada saluran-saluran sedia ada,” ujarnya.
Selain itu kata beliau, tinjauan melalui udara turut dilakukan menggunakan helikopter sebagai persediaan untuk menghadapi operasi yang melibatkan kawasan sukar dimasuki melalui laluan darat. -UTUSAN ONLINE