GEORGETOWN: Tubuh jawatankuasa khas siasat dalang di sebalik kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mempunyai unsur-unsur manipulasi fakta berkaitan ideologi komunis.
Itu penegasan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang melihat kewajaran Kementerian Pendidikan mengarahkan pengajaran serta pembelajaran bab 6 di dalam buku teks mata pelajaran tersebut ditangguhkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Menurut beliau, pihaknya kesal apabila mendapati kandungan buku teks berkenaan diolah sehingga mewujudkan unsur-unsur mengagungkan komunis dalam perjuangan negara mencapai kemerdekaan.
“Kita amat kesal kerana buku sejarah tidak sepatutnya diolah sebegitu. Wajar jika Kementerian Pendidikan arahkan semua sekolah hentikan pengajian buku tersebut.
“Satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian juga perlu ditubuhkan bagi menyiasat dalang yang merangka kandungan di dalam bab 6 buku teks tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemuda UMNO menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 kerana mendakwa terdapat fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu seolah-olah usaha terancang dan secara halus menyuci pemikiran pelajar kononnya fahaman sosialis dan komunis tidak buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.
Menurut Mohd. Yussof, generasi muda pada masa ini tidak sepatutnya dikelirukan dengan putar belit fakta berkaitan kekejaman pergerakan komunis yang mahu menubuhkan sebuah republik komunis di sini.