Tangguh Parlimen dan undi 18 tahun pengkhianatan kepada legislatif negara - Utusan Malaysia

Tangguh Parlimen dan undi 18 tahun pengkhianatan kepada legislatif negara

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangguhkan sidang Dewan Negara dan pelaksanaan undi bagi rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada institusi legislatif negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Ketua Pemuda DAP Johor berkata, tindakan sedemikian akan menghakis sistem demokrasi.

Beliau berkata, pada masa sama ia dilihat membawa sistem perundangan negara terkebelakang di mata dunia.

Katanya, ini jelas sekali bertentangan dengan titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 24 Februari lalu yang menasihatkan agar Parlimen boleh diadakan dalam tempoh perintah Darurat.

“Namun kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin pada 3 Mac 2021 mendakwa tiada keperluan Dewan untuk bersidang pada ketika ini.

“Bahkan Takiyuddin menyatakan sekali lagi dalam kenyataan beliau pada 21 Mac 2021 dengan mengambil contoh yang jelas sekali berbeza latar belakangnya bahawa dewan tidak bersidang selama dua tahun pada darurat 1969,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Sheikh Umar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam pula menyatakan bahawa proses undi usia 18 tahun hanya akan terlaksana selepas September 2022.

“Ini bercanggah sedangkan Dewan Rakyat serta Dewan Negara pada Julai 2019 telah meluluskan pelaksanaan ini,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan apakah yang sudah terjadi dengan Parlimen negara dan adakah Parlimen sudah mula hilang fungsi di bawah pentadbiran kerajaan PN.

“Amaran saya, kerajaan PN jangan lacurkan maruah Parlimen Malaysia yang mulia. Tindakan menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun juga tidak pro kepada anak muda sama sekali.

“Ia adalah satu penafian terhadap usaha untuk menyegerakan penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara menerusi pilihan raya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya