Tambahan satu perjalanan feri setiap hari - Utusan Malaysia

Tambahan satu perjalanan feri setiap hari

SEBAHAGIAN penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi di Jeti Kuala Kedah, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jadual perjalanan feri kedua-dua hala antara Langkawi dan Kuala Kedah, di sini serta Kuala Perlis, Perlis ditambah satu perjalanan setiap hari selepas kelonggaran gelembung pelancongan bersasar sejak 10 Mac lepas.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya juga sedia menambah lebih banyak perjalanan terutama ketika hujung minggu mengikut permintaan orang ramai untuk bercuti di pulau berkenaan.

Katanya, kebenaran melancong ke pulau itu setakat ini belum memberi impak yang ketara dari segi kehadiran penumpang yang menggunakan kedua-dua terminal berkenaan.

“Setakat ini, jadual perjalanan harian ada tambahan satu perjalanan iaitu tiga perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah dan dua perjalanan dari Kuala Perlis. Namun, kita sentiasa memantau tempahan secara dalam talian setiap hari.

“Jika permintaan bertambah, jadual perjalanan akan ditambah,” katanya di sini semalam.

Menurut Baharin, rekod jumlah penumpang yang menggunakan terminal feri Kuala Kedah adalah sebanyak 7,000 orang setiap hari berbanding Kuala Perlis kurang daripada 1,000 penumpang.

“Daripada rekod juga kita dapati kebanyakan penumpang adalah dari Kedah. Kita berpandangan orang ramai terutama dari negeri lain masih belum bersedia masuk ke Langkawi.

“Kemungkinan masing-masing masih keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Apa pun, pihak konsortium sentiasa memantau permintaan orang ramai melalui sistem pembelian tiket secara dalam talian dan bersedia menambah perjalanan,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menasihatkan agar para penumpang sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak mereka dikenakan kompaun.

“Apabila berada di dalam feri mereka mesti patuhi SOP dan kru kita sentiasa memantau.

“Saya percaya pihak berkuasa juga ditempatkan di terminal untuk memantau SOP penumpang. Jadi kita nasihatkan masing-masing sentiasa berhati-hati,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini melonggarkan syarat pergerakan bagi gelembung pelancongan domestik bersasar mulai 10 Mac lepas khusus untuk pelancong yang berada di negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja manakala negeri yang dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) masih dilarang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya