JOHOR BAHRU: Sebanyak 72,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai sebanyak RM56,232 disembunyikan di dalam ruang khas meja pasang siap sebelum dihantar ke negara jiran.
Bagaimanapun, kegiatan tersebut berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila membongkar taktik penyeludupan rokok itu yang dilakukan di sebuah lorong di kawasan perindustrian di Masai, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Gelang Patah itu, berjaya mengesan rokok yang disembunyikan di dalam ruang khas meja tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu palet yang berisi meja dalam bentuk tercurai yang di dalamnya mempunyai ruang untuk menyembunyikan rokok.
“Rokok tersebut dipercayai akan dieksport ke negara jiran menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini
Sazali berkata, pihaknya sedang giat menjalankan usaha mengesan pemilik premis berkenaan yang melakukan kesalahan menyimpan barang-barang larangan.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan seperti ini selain aktiviti berkaitan minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah, ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE