Tak sempat kebumi jenazah - Utusan Malaysia

Tak sempat kebumi jenazah

JENAZAH Che Azhar Che Lah dibawa semula ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dari rumahnya untuk menjalani proses dibedah siasat kali kedua hari ini. Foto ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Jenazah peniaga air kelapa yang maut dalam kejadian kes langgar lari di Kampung Pak Badol, di sini malam tadi terpaksa dibawa semula dari tanah perkuburan ke hospital akibat berlaku kekeliruan berhubung punca kematiannya.

Mangsa, Che Azhar Che Lah, 51, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal pukul 9.45 malam dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serdang Muda, Pak Badol pagi ini.

Namun majlis pengkebumian yang dijadual pukul 11 pagi itu terpaksa dibatalkan atas arahan polis.

Adik mangsa, Cik Siti Aishah Che Lah, 42, berkata, difahamkan keadaan itu berlaku kerana terdapat kekeliruan laporan doktor mengenai kematian abangnya.

“Saya terkejut apabila jenazah abang yang sudah berada di tanah perkuburan dibawa pulang ke rumah semula, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh oleh polis.

“Kami sekeluarga juga mendapat maklumat bahawa jenazah abang perlu dibedah siasat semula untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Cik Siti Aishah, seorang lagi abangnya, Che Amran, 48, kemudian bergegas ke Balai Polis Bachok untuk membuat semula laporan bagi membolehkan urusan pengkebumian diselesaikan dengan segera.

Menceritakan mengenai kejadian yang menimpa mangsa, katanya, kemalangan berlaku ketika Che Azhar sedang menunggang motosikal seorang diri untuk membuang sampah kira-kira 20 meter dari rumahnya.

“Ketika itu, saya sedang berniaga burger di kawasan berhampiran dan mendengar satu bunyi dentuman yang kuat.

“Pada masa sama, saya melihat abang dalam keadaan melambung dan terjatuh di atas jalan raya selepas dirempuh sebuah motosikal yang datang dari arah Kota Bharu,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Anis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya