Tak sempat cari dewan, pengantin baharu hanya diraikan keluarga terdekat - Utusan Malaysia

Tak sempat cari dewan, pengantin baharu hanya diraikan keluarga terdekat

AMINN Razak (kanan) hanya merakam video untuk tatapan ahli keluarga ketika dinikahkan bersama isterinya, Aisyah Halim di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perancangan sepasang pengantin baharu untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka di dewan tidak kesampaian meskipun Johor kini sudah berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula kelmarin.

Pasangan itu, Aminn Razak, 33, dan isterinya, Aisyah Halim, 30, berkata, mereka hanya berpeluang memasang sebuah khemah sahaja di rumah kerana tidak sempat untuk membuat persiapan mengadakan jamuan makan di dewan.

Ini kerana, ujar mereka, tarikh pernikahan pada semalam hanya lima hari selepas kerajaan mengumumkan PKPB di beberapa negeri termasuk Johor yang sepatutnya membolehkan mereka mengadakan majlis itu dengan syarat 50 peratus daripada kapasiti biasa.

“Sejak tahun lepas lagi kami merancang untuk mengadakan majlis di dewan dan sebenarnya kami sudah menempah sebuah dewan bagi tujuan itu tetapi tempahan itu dibatalkan selepas tidak pasti berapa lama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Namun, selepas kerajaan pada Selasa lalu mengumumkan PKPB akan bermula Jumaat, kami tidak sempat untuk mencari alternatif kerana hanya membuat persediaan untuk bernikah sahaja dan tidak terfikir untuk tangguh kerana tidak pasti keadaan akan datang bagaimana,” katanya kepada Utusan Malaysia di Masai, di sini, hari ini.

Pada majlis semalam, Aminn berkata, mereka hanya memasang sebuah khemah pada saat-saat akhir di perkarangan rumah keluarga mentuanya dan hanya menjemput saudara-mara serta kenalan rapat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, meskipun terkilan kerana tidak dapat menjemput kesemua rakan-rakan, dia bersyukur apabila mereka memahami kekangan yang timbul untuk mengadakan majlis pada skala yang besar.

“Alhamdulillah, meskipun tidak dapat hadir, kawan-kawan mengirimkan mesej tahniah selepas kami selamat dinikahkan di Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru, pagi semalam. Tak ada rezeki nak panggil ramai-ramai tetapi syukur segalanya sudah selesai.

“Jika tidak siang malam juga berfikir mengenai majlis kami walaupun perancangan sudah lama dibuat tetapi apakan daya kami memahami keadaan semasa negara yang masih berlawan dengan Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya