Tak mengaku baling batu-bata ke kereta bapa mentua - Utusan Malaysia

Tak mengaku baling batu-bata ke kereta bapa mentua

TERTUDUH Tuan Khairul Aiman Tuan Khairuddin (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membaling batu-bata ke arah kereta bapa mentuanya, Isnin lalu.-UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu-bata ke arah kereta bapa mentuanya, Isnin lalu.

Tertuduh, Tuan Khairul Aiman Tuan Khairuddin, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan khianat terhadap harta benda milik Che Mahdi Che Lah, 62, dengan cara membaling batu-bata ke arah kereta mentuanya sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM25.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas di sini kira-kira pukul 12.50 tengah malam pada 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Gayathri manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syaerah Meor Zulkifli Auni.

Terdahulu, Gayathri meminta tiada jaminan ditawarkan ekoran bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang juga merupakan ahli keluarganya.

Siti Syaerah dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dan ditanggung sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa.

“Anak guam saya mempunyai rekod menghidap bipolar dan sedang dalam fasa mengambil ubat. Kami sedang menunggu laporan penyakit itu daripada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya