Tahap pematuhan peruncit, pengedar hampir 100 peratus - Utusan Malaysia

Tahap pematuhan peruncit, pengedar hampir 100 peratus

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi hampir setengah juta peniaga domestik di seluruh negara ketika ini sudah pun mencecah tahap terbaik iaitu menghampiri 100 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna , Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga semalam, lebih 98 peratus pematuhan telah direkodkan pihaknya.

“Ini melibatkan secara kumulatif sejumlah 417,492 premis peruncitan dan pengedaran dengan kira-kira 408,988 premis daripadanya disahkan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu ramah khas media secara maya bersama menteri berkenaan bersempena genap setahun Malaysia Prihatin di bawah Perikatan Nasional.

Sebanyak 37 SOP berkenaan diwujudkan kerajaan untuk peniaga runcit dan pengedar barang selain bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja dan pengguna.

Pada masa sama, ia dibangunkan khusus bagi operasi sektor perniagaan tidak terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Mengulas lebih lanjut, Alexander berkata, sekadar perbandingan, cuma 169 premis dikompaun atau 0.04 peratus, manakala 589 lagi diberi amaran yang bersamaan hanya 0.14 peratus.

“Namun, sebanyak 7,746 premis diberi nasihat iaitu 1.86 peratus daripada keseluruhan yang diperiksa penguat kuasa kementerian setiap hari di seluruh negara setakat ini,” katanya.

Ditanya mengenai isu pembelian panik, beliau berkata, perkara itu cuma berlaku pada minggu pertama pelaksanaan PKP 1.0 bermula 18 Mac tahun lalu di sekitar Lembah Klang sahaja.

Ramai pengguna ujarnya, tersalah faham konsep PKP yang disangka konon seperti perintah berkurung penuh dan berebut cuba beli dalam amaun banyak sebagai simpanan di rumah.

Namun, katanya, situasi kembali stabil selepas itu, malah, jika ada rak produk tertentu kosong, ia bersifat sementara dan isu terpencil kerana kebetulannya bekalan baharu belum tiba lagi.

“Saya juga terkejut tetapi setelah disiasat, misalnya roti buku, ramai cuma fokus beli produk jenama itu sahaja, padahal, ada banyak lagi jenama lain di kedai tersebut,” kata Alexander.

Menyentuh isu harga siling seliter petrol RON95 dan diesel yang masing-masing ditetapkan RM2.05 dan RM2.15, beliau berkata, subsidi dua bahan bakar itu tetap diteruskan kerajaan.

Jaminan itu demi melindungi kebajikan rakyat khususnya golongan rentan berpendapatan B40 malah paras maksimum dilaksanakan lebih rendah berbanding era pentadbiran sebelumnya.

Bagaimanapun, dasar itu tidak meliputi petrol RON97 yang kekal diapungkan bebas mengikut nilai harga semasa pasaran global yang ketika ini dijual runcit pada kadar RM2.47 seliter.

“Cuma, saya berharap mereka yang berpendapatan tinggi mengisi minyak RON97 berbanding RON95 walaupun tiada larangan bertulis, kerana ini juga dapat membantu negara,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha 281 buah stesen minyak dekat sempadan negara tidak mengeksploitasi harga murah itu dengan membekal pukal petrol kepada warga asing.

Pemilik kereta plat negara luar hanya dibenar mengisi RON97 dalam tangki kenderaan itu dan peringatan tegas tersebut juga melibatkan peruncit 10 barangan keperluan dikawal harganya.

Beliau memberi contoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang dilaksanakan beberapa tahun lalu selain pelbagai peraturan antipencatutan untuk mengekang isu peniaga tidak jujur. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN