PETALING JAYA : Belum sempat dibicarakan, pemandu teksi yang ditahan Polis Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu kerana terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ditemukan maut di jeriji besi pintu sel lokap Balai Polis Cheras, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 54 tahun itu ditemukan dalam keadaan tergantung dengan baju tahanan sebelum disedari oleh petugas di lokap berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tahanan yang ditemukan maut merupakan salah seorang daripada tiga suspek diberkas baru-baru ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon dalam satu kenyatan berkata, Kejadian itu disedari petugas lokap ketika proses membawa keluar tahanan lain di sel lokap bersebelahan untuk proses siasatan kes lain.
“Tahanan lelaki berusia 54 tahun berkenaan tergantung di jeriji besi pintu sel lokap menggunakan baju tahanan yang dibekalkan.
“Ketika kejadian, lelaki itu berada di sel lokap berseorangan kerana tahanan lain yang ditempatkan dalam sel sama sudah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein memberitahu, lelaki itu ditahan pada 4 Mac lalu atas kesalahan memiliki dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki itu selepas dia ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamin.
“Lelaki itu yang juga pemandu teksi dibenarkan reman bermula pada 4 hingga 10 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata, lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971.
Kata beliau, siasatan lanjut turut dijalankan Koroner dari Mahkamah Jalan Duta di lokap berkenaan kira-kira pukul 3 petang, kelmarin.
“Pakar Patologi dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) pula hadir menjalankan siasatan di lokap kira-kira pukul 3.05 petang, hari sama.
“Bedah siasat sudah dijalankan di HCTM, semalam dan siasatan lanjut diteruskan mengikut kes kematian mengejut (SDR) dan siasatan dalaman turut dilakukan oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard ke atas petugas lokap,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE