Tabika Kemas dilanda banjir dibaik pulih - Utusan Malaysia

Tabika Kemas dilanda banjir dibaik pulih

MOHAMAD Yasid Bidin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan banjir kepada guru Kemas Kampung Paya Pasir terbabit banjir di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) yang dilanda banjir awal tahun ini akan dibaik pulih dan dicat semula bagi meningkatkan keceriaan bangunan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pengarah Kemas negeri telah diminta menyenaraikan Tabika yang dilanda musibah berkenaan.

Jelasnya, peruntukan sesuai akan disalurkan kepada Tabika mengikut kemampuan kewangan yang ada bagi membolehkan operasinya berjalan lancar.

“Berdasarkan lawatan prihatin saya ke beberapa premis di Maran dan Temerloh yang dilanda banjir mendapati bangunannya perlu dibaik pulih, dicat baharu dan ditambah sudut keceriaan.

“Terdapat bangunan Tabika Kemas yang diserang anai-anai kerana dilanda banjir sekali gus perlu dibaik pulih segera kerana membabitkan struktur bangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program penyerahan bantuan banjir Kemas Daerah Maran dan Temerloh, di sini baru-baru ini.

Tabika terbabit ialah Tabika Kemas Taman Maran Jaya, Tabika Kemas Kampung Paya Pasir, Tabika Kemas Kampung Paya Pulai Tengah, Tabika Kemas Kampung Tengah dan Tabika Kemas Kampung Paya Taram, Kuala Krau.

Mohamad Yasid mengakui aspek keceriaan dan keselamatan menjadi keutamaan Kemas kerana selari dengan naluri kanak-kanak yang cintakan keindahan.

Tambah beliau, selain memberi tumpuan memulihkan Tabika, pihak kementerian turut menyantuni warga Kemas yang terlibat dengan musibah banjir.

Menurutnya, ketika kemuncak banjir melanda beberapa negeri disusuli pandemik Covid-19 bantuan tidak dapat disalurkan kepada staf dan guru Kemas terbabit.

Sementara itu Pengarah Kemas negeri, Zamri Muhamad berkata, seramai 106 orang warga Kemas termasuk guru dan pembantu terlibat dengan musibah banjir baharu-baharu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, di Pahang sahaja terdapat kira-kira 17,000 murid Tabika Kemas dan 500 buah sekolah beroperasi bermula 1 Mac lalu.

Tambah beliau, sekolah Tabika yang dibuka itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan tanpa kompromi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN