SHAH ALAM: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal tahun lalu.
Tertuduh, syarikat Pristine Offshore Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM321,350.
Bagaimanapun, syarikat yang diwakili pengarah baharunya, Datuk Abdul Kamal Mohd. Mydeen, 70, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Abdul Kamal baharu memegang jawatan tersebut pada Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu telah melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu iaitu seorang pengarahnya, Chew Ben Ben, 64, telah secara rasuah memberikan kepada seorang ketua pegawai operasi sebuah syarikat untuk suapan faedah dirinya sejumlah RM321,350.
Berdasarkan pertuduhan, suapan itu untuk memperoleh perniagaan bagi syarikat tersebut iaitu memastikan dianugerahkan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.
Perbuatan itu dilakukan di Bandar Kinrara, Puchong di antara 29 Jun dan 14 Oktober 2020.
Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17A (1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 17A (2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1juta mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM200,000 dengan penjamin daripada pegawai atau pengarah syarikat tersebut.
Syarikat tersebut yang diwakili tiga peguam iaitu Bernard Francis, Chong Ki Keong dan Azim Razak tidak membantah tawaran wang jaminan tersebut dengan Abdul Kamal akan menjadi penjaminnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan dan tarikh sebutan kes pula pada 25 Mei hadapan.
Untuk rekod, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah manakala Seksyen 17A akta tersebut dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas. – UTUSAN ONLINE