ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini menjatuhi hukuman denda RM20,000 ke atas sebuah syarikat pemprosesan makanan setelah disabitkan dengan dua pertuduhan kerana menyediakan asrama pekerja tanpa perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Januari lepas.
Syarikat berkenaan, Twenty-Twenty Food Sdn. Bhd. yang diwakili pengurus besarnya dijatuhi hukuman itu setelah mengaku salah apabila dua pertuduhan berkenaan dibaca di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat tersebut didakwa menempatkan salah seorang pekerja asing warganegara Indonesia, Nenni Juniarti Tanjung yang tidak diperakukan dengan perakuan penginapan dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Kesalahan itu dilakukan di Nombor 1, Jalan Kedundung dekat Pokok Sena pada 13 Januari lepas pukul 10.30 pagi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JTK, Norulaskin Mustafa mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan dengan kesalahan itu.
Sementara bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan didakwa gagal menyediakan penginapan mengikut kehendak minimum yang diperuntukkan di bawah subperaturan 3(1) Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 (P.U.(A) 250/2020) iaitu untuk menyediakan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas untuk 15 pekerja (1:15) kepada 146 pekerjanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Pendakwaan mengikut subperaturan 3(2) Peraturan-Peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 33 Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan didenda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
Mengikut fakta kes, dalam satu serbuan dilakukan oleh pihak JTK negeri pada hari berkenaan mendapati syarikat itu hanya menyediakan dua blok asrama berbentuk dorm yang memuatkan 150 pekerjanya dengan kemudahan sebuah tandas sahaja.
Terdahulu ketika membuat rayuan di hadapan hakim, pengurus besar syarikat berkenaan memohon agar denda dikurangkan bagi membolehkan majikan tersebut membaiki asrama berkenaan mengikut peraturan ditetapkan Akta 446.
Norulaskin bagaimanapun memohon hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada majikan lain untuk menjaga kebajikan pekerja mereka terutama bagi mencegah penularan Covid-19.
Syarikat berkenaan yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.
Difahamkan majikan berkenaan merupakan yang pertama dijatuhi hukuman mengikut akta tersebut setelah ia dikuatkuasakan dengan pindaan. – UTUSAN ONLINE