Syarikat pelancongan perlu ambil peluang - Utusan Malaysia

Syarikat pelancongan perlu ambil peluang

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pelancongan tempatan perlu mengambil peluang untuk mempamerkan perkhidmatan yang baik dan memuaskan hati pelancong-pelancong domestik yang berkunjung ke beberapa destinasi di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tawaran harga menarik dan berpatutan, penambahan pengalaman melancong melalui penceritaan pemandu pelancong serta kemudahan perkhidmatan pemandu dan pengangkutan, pastinya boleh menarik minat rakyat dalam kembali menggunakan perkhidmatan mereka pada masa hadapan.

“Kami di kementerian turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan aktiviti langsung bagi industri kreatif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini termasuk program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan boleh diadakan secara langsung dengan melibatkan kehadiran 50 peratus penonton dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan PKPP merentas ke negeri-negeri PKPP lain bermula hari ini.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

Nancy berkata, perkara ini secara tidak langsung membuka ruang dan peluang untuk orang ramai kembali melancong serta perniagaan sektor pelancongan dapat beroperasi sepenuhnya.

Katanya, sudah pasti, ini boleh menjadi permulaan lembaran baru sebagai pemangkin untuk industri ini bangkit semula, seterusnya membantu kelangsungan hidup para pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan.

“Saya berharap rakyat Malaysia dapat menjadi pelancong bertanggungjawab dan menikmati pengalaman persembahan kebudayaan tanpa alpa dan leka untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sama-samalah kita bekerjasama dan terus berdoa agar industri pelancongan dan kebudayaan tempatan tidak perlu lagi melalui saat sukar melalui penutupan aktiviti kerana impak negatifnya terhadap rantaian ekonomi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya