Syarat kelayakan sertai Senoi Praaq akan dilonggarkan - Utusan Malaysia

Syarat kelayakan sertai Senoi Praaq akan dilonggarkan

PERBARISAN kumpulan pelatih asas konstabel PGA Senoi Praaq pada Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli di Briged Utara Pasukan Gerakan Am(PGA) Ulu Kinta, Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melonggarkan syarat-syarat kelayakan bagi pengambilan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, antara perkara yang akan diberi kelonggaran adalah melibatkan aspek fizikal termasuk ketinggian dan kelulusan akademik.

Katanya, ketika ini jumlah keanggotaan unit tersebut di Batalion 3 PGA di Bidor dan Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu tidak mencukupi ekoran kekangan dari segi kelayakan.

“Saya faham minat tinggi yang ditunjukkan oleh masyarakat Orang Asli untuk menyertai PDRM namun terdapat beberapa kekangan dari segi fizikal dan kelulusan.

“Seperti yang kita tahu, Orang Asli ini bersifat lincah dan tangkas. Tidak (begitu) diperlukan seseorang yang bertubuh tinggi dan sasa di dalam hutan kerana dua sifat itu sudah memadai bagi pergerakan dan penugasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli (PDRM) Siri 1/2020 di lapang sasar utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Menurut beliau, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din telah membawa perkara itu ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat tersebut.

Bagaimanapun beliau menegaskan, kelonggaran tersebut tidak bermakna pasukan keselamatan itu akan mendapat anggota yang tidak berkualiti.

“Kita banyak mendapat permohonan daripada mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai Senoi Praaq sedangkan syarat kelayakan untuk unit ini hanyalah Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Jadi, kita akan berunding dengan pihak JPA untuk mendapatkan fleksi berkaitan kelulusan akademik ini di mana pemohon boleh menggunakan kedua-dua kelulusan beserta skim gaji berbeza,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga melalui Jabatan Pengurusan (Latihan) sedang merumuskan piawaian program bagi menaik taraf beberapa anggota PGA Orang Asli ke jawatan inspektor untuk berkhidmat di Batalion 3 dan 18 PGA.

Katanya, setakat ini terdapat seorang pegawai berpangkat inspektor dari PGA dan empat pegawai berpangkat sama dari formasi lain akan dibawa masuk untuk menyertai batalion berkenaan.

“Mereka sudah dikenal pasti dan akan melalui beberapa proses temuduga. Apabila cukup sahaja (kelayakan), secara trek pantas akan dinaikkan pangkat sebagai pegawai (inspektor).

“Saya mahu lihat kedua-dua batalion ini dikendalikan sepenuhnya oleh Orang Asli. Bagaimanapun tidak semestinya mereka akan terus kekal di situ sehingga bersara, sebaliknya mereka juga boleh ‘berkembang’ di bawah jabatan-jabatan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya