JOHOR BAHRU – Suspek kes pembunuhan melibatkan seorang suami yang menembak mati isterinya di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini pada 1 Mac lalu disambung selama enam hari lagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, tempoh perintahan tahanan reman ke atas suspek berusia 48 tahun itu serta rakannya yang berusia 32 tahun bermula esok sehingga 16 Mac depan.
“Polis sudah dapat perintah sambung reman selama enam hari sampai 16 Mac depan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, suspek yang juga suami kepada wanita berusia 38 tahun dan rakannya direman selama enam hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan dijalankan.
Mayat kerani sumber manusia sebuah kilang swasta ditemui di dalam tong berwarna biru yang ditanam suaminya berhampiran sebuah ladang di Felda Papan Timur, Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Pembunuhan sadis itu terbongkar selepas jiran yang juga rakan baik suspek memberi maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dijalankan.
Ibu kepada dua anak itu mati ditembak kira-kira pukul 2.30 pagi, 1 Mac lalu dengan menggunakan senapang angin pada jarak dekat di rumah kediaman pasangan itu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi sebelum mayatnya ditanam di kawasan ladang berkenaan.
Malam tadi, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas mayat seorang wanita ditemukan dalam tong air disahkan identitinya sebagai mangsa berkenaan.
Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut oleh keluarga mangsa dan telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Telaga, Hulu Terengganu kira-kira pada pukul 5.30 pagi tadi. -UTUSAN ONLINE