GEORGETOWN: Gara-gara terlalu cemburu dengan seorang wanita muda yang sudah memiliki kekasih hati, seorang warga emas sanggup membakar lima buah motosikal di kawasan parkir terbuka Blok 362, Lebuh Maccalum di sini Ahad lalu.
Suspek berusia 68 tahun itu diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di kediamannya di Pintasan Cecil pada pukul 1 pagi tadi.
Kejadian kebakaran melibatkan lima buah motosikal itu berlaku kira-kira 2 pagi Ahad lalu semasa penghuni perumahan flat berkenaan sedang nyenyak tidur.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan suspek yang juga bekas pesara sebuah syarikat swasta itu dilakukan selepas pihaknya meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berhampiran lokasi kejadian.
“Siasatan awal ke atas lelaki terbabit mengakui yang dia bertindak membakar motosikal-motosikal tersebut kerana tidak berpuas hati dengan seorang perempuan warga asing selepas cintanya tidak berbalas.
“Dia juga bertindak sedemikian disebabkan terlalu cemburu dengan wanita tersebut disebabkan sudah mempunyai kekasih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Soffian memberitahu, suspek yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan mental itu kini ditahan di lokap IPD Timur Laut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penduduk di Blok 362, Lebuh Maccalum di sini cemas selepas dikejutkan dengan kebakaran melibatkan lapan buah motosikal yang diletakkan pemiliknya di kawasan parkir terbuka.
Kejadian disedari penghuni perumahan terbabit selepas terdengar bunyi letupan dan bau asap api dari pekarangan bawah flat berkenaan.