'Suri rumah' 11 tahun kembali ke sekolah - Utusan Malaysia

‘Suri rumah’ 11 tahun kembali ke sekolah

NURUL Farisha Mohd. Ridzuan dan abangnya, Muhammad Faris Abdullah melapor diri di SK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas hari ini.- ihsan keluarga
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kanak-kanak berusia 11 tahun yang terpaksa menjadi ‘suri rumah’ lebih awal dan mengasuh adik-adiknya sebagaimana disiarkan akhbar ini bulan lalu, kembali semula ke bangku sekolah hari ini setelah hampir dua tahun tercicir.

Nurul Farisha Mohd. Ridzuan dan abangnya, Muhammad Faris Abdullah, 12, pagi ini melapor diri di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 2, di sini dan kelihatan ceria dapat melaram dengan pakaian seragam serba baharu.

Fasnita Mamat, 42, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai penjaga mereka tanpa berselindung menzahirkan rasa syukur dapat melihat Nurul Farisha dan Muhammad Faris kembali semula bersekolah.

Menurutnya, dua beradik itu jelas bersemangat mahu menghadapi hari pertama sesi persekolahan mereka apabila bangun seawal pukul 5 pagi dan terus bersiap tanpa perlu disuruh.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan impian dua anak kecil ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Fasnita memberitahu, dia juga mahu melihat seorang lagi adik Farisha iaitu Muhammad Faisal, 6, mengikuti sesi pembelajaran prasekolah dan kini sedang mencari tadika bersesuaian untuk kanak-kanak itu.

Sementara itu Nurul Farisha berkata, dia berazam mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah masa depan keluarganya yang kini terumbang-ambing.

Utusan Malaysia 21 Februari lalu melaporkan kisah Nurul Farisha dari Binjal Pulau, Kubang Terap di sini yang terpaksa matang lebih awal bagi menggalas tugas seorang ‘ibu’ kepada tiga adiknya, selain sudah tidak bersekolah hampir dua tahun.

Dia bukan sekadar mengasuh adik-adiknya Muhammad Faisal, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, serta Muhammad Faiz Farhan, 1, dengan bantuan abang sulungnya, malah tidak kekok memasak dan menguruskan makan-minum mereka setiap hari.

Lima beradik terbabit dijaga datuk dan nenek yang sudah uzur sebelum diambil alih Fasnita, berikutan kedua-dua ibu bapa mereka sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya