Suram bercuti ke Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Suram bercuti ke Cameron Highlands

CAMERON Highlands di Pahang dinobatkan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sejak dahulu, kesesakan lalu lintas di pusat peranginan tanah tinggi ini terutama ketika hari minggu dan musim cuti persekolahan memang tidak asing lagi hinggakan jarak yang singkat boleh memakan masa sehingga lebih sejam.

Namun, suasana itu tidak menghalang pengunjung untuk menikmati percutian suhu rendah bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang.

Bagaimanapun, sejak larangan rentas negeri ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kawasan percutian yang kebiasaannya sesak dan sibuk tersebut, bertukar menjadi suram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengunjung dari Kuantan, Wan Rafidah Razali, 45, berkata, pertama kali dia bercuti di Cameron Highlands terutama pada hari minggu, suasananya suram.

“Ia tidak seperti biasa, dulu kalau hendak turun mengambil gambar di ladang teh Cameron Valley Tea memang bersesak, ramai menunggu giliran untuk bergambar kenangan bersama keluarga.

“Tapi kini, duduk satu jam pun tiada orang, jika berterusan begini tidak seronok juga kerana lokasi peranginan ini sebelum ini terkenal dengan kehadiran ramai pengunjung,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Kuantan, Muhd. Iqbal Abd. Wahab, 22, berkata, setiap tahun Cameron Highlands adalah destinasi pelancongan yang wajib dikunjunginya bersama keluarga.

“Cuma kali ini sedikit suram kerana tiada orang. Memang dari satu sudut ia bagus kerana tiada kesesakan lalu lintas, tapi dari segi keseronokan tiada kerana suram dan tidak meriah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyarankan rakyat di negeri ini mengambil peluang bercuti bersama keluarga ke pusat-pusat peranginan di Pahang seperti di Cameron Highlands bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di situ.

“Kita menerima keputusan kerajaan yang masih tidak membenarkan rentas negeri, jadi kebenaran rentas daerah ketika ini perlu diambil kesempatan oleh rakyat negeri ini berkunjung ke Cameron Highlands,” katanya.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana melestarikan kaedah gelembung pelancongan bersasar domestik.

“Kebenaran ini tidak memberikan kesan menyeluruh kepada pusat agro pelancongan dan pengusaha inap desa di Cameron Highlands kerana syarikat pelancongan berkenaan termasuk bas persiaran pastinya akan singgah di hotel atau resort swasta yang lebih besar dan selesa.

“Namun diharap, ia menjadi pemangkin kepada industri pelancongan domestik di negeri Pahang untuk bangkit semula akibat pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN