JOHOR BAHRU: Sungai Kim Kim yang pernah menggemparkan negara apabila dicemari sisa toksik sehingga menjejas lebih 6,000 penduduk Pasir Gudang bakal dibangunkan untuk menjadi kawasan riadah orang ramai dan mesra masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Sungai Kim Kim antara kawasan rizab sungai terancam di negeri ini yang akan dibangunkan di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).
Beliau berkata, bagi peringkat permulaan, kos membina denai dan mencantikkan Sungai Kim Kim dianggarkan berjumlah RM500,000.
Jelasnya, sepanjang 2,000 kilometer sungai terjejas di negeri ini dipilih dari keseluruhan 10,000 kilometer di seluruh negara yang akan dibangunkan menjadi tempat laluan serta rekreasi untuk masyarakat setempat.
“Kawasan rizab sungai ini dicadangkan untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai sungai bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar melalui pengurusan dan penggunaan alam yang lestari.
“Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan ‘nature based activities’ seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat. Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan program gotong-royong Sayangi Sungai Kim Kim bersempena sambutan Hari Air Sedunia, di sini hari ini.
Gotong-royong yang dilakukan awal di Sungai Kim Kim itu merupakan perintis kepada semua program gotong-royong yang bakal diadakan di peringkat Negeri Johor pada 27 Mac ini bersempena sambutan Hari Air Sedunia.
Program tersebut mendapat penglibatan kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan berkaitan serta pelajar universiti bagi membersihkan kawasan tersebut serta menanam anak pokok.
Hasni berkata, memandangkan Sungai Kim Kim mengalir di kawasan perindustrian, pelaksanaan program denai terbabit memerlukan kerjasama dan sumbangan daripada pihak industri yang berada di sekitar kawasan tersebut.
“Program yang melibatkan empat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan beberapa agensi ini dikenali sebagai program University For Society (U4S) yang mana pihak UTM telah menyediakan pelan induk pembangunan Sungai Kim Kim.
“Para pelajar boleh mengadakan aktiviti pembelajaran dan kesedaran untuk menghargai dan mencintai sungai dan alam sekitar. Program sebegini dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama dan rasa kepunyaan di antara badan korporat, NGO dan komuniti setempat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE