PASIR GUDANG: Sungai Kim Kim sudah menjadi ikon pencemaran sisa toksik setelah nama sungai itu menjadi sebutan orang ramai sejak minggu lalu apabila ia dilaporkan kembali tercemar.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, reputasi buruk itu tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah drastik menjaga nama baik Pasir Gudang yang sudah dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya.
Beliau berkata, itu tidak termasuk dua sungai di kawasan Pasir Gudang yang dinamakan sebagai sungai paling tercemar iaitu Sungai Tukang Besi dan Sungai Buluh.
Katanya, kerajaan negeri dicadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Kim Kim sebagai langkah mengawal sumber air itu.
“Sungai Kim Kim yang berada dalam Parlimen Pasir Gudang dan Parlimen Tebrau bukanlah panjang sangat seperti Sungai Nil di Mesir,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan pencemaran di Sungai Kim Kim di sini hari ini,
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua PKR Cabang Tebrau, Teoh Eng Yoon.
Isnin lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dilaporkan mengesyaki pembuangan sisa kimia lebih besar berlaku di Sungai Kim Kim namun itu berbeza dengan insiden pencemaran sisa toksik yang berlaku di situ dua tahun lalu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang kemudian meninjau sungai itu berkata, pencemaran Sungai Kim Kim pada kali ini berpunca daripada pelepasan air sisa daripada aktiviti premis dan bukannya pembuangan sisa berjadual (scheduled waste).
Dalam pada itu, Hassan mencadangkan kerajaan merekrut penduduk kampung di sepanjang jajaran sungai itu sebagai ‘perisik’ pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Katanya, untuk menjadikan lebih efisien, kerajaan perlu menawarkan ganjaran berpatutan sekiranya mereka membuat aduan terhadap pihak membuang sisa di sungai berkenaan.
Selain itu, beliau mahu kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air (2006) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) untuk memperuntukkan hukuman lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sungai.
“Hukuman sedia ada tidak menggerunkan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai malah sehingga kini selepas dua tahun insiden pencemaran Sungai Kim Kim masih tidak ada pihak dihukum dengan sewajarnya,” katanya.